Doa-Doa Ma’thur yang Dibaca pada Pelbagai Situasi:

Himpunan Doa Al-Ma'thurah yang sahih daripada Nabi ﷺ
-Ya Allah, dengan pengetahuan Engkau terhadap perkara yang ghaib dan kekuasaan Engkau ke atas makhluk, hidupkanlah aku sekiranya Engkau mengetahui hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya Engkau mengetahui mati itu lebih baik bagiku. Ya Allah, daripadaMu aku memohon sifat takut akan Engkau sama ada dalam keadaan sembunyi atau nyata. Aku memohon untuk mampu berkata benar baik ketika redha atau marah, aku memohon kepadaMu kesederhanaan semasa susah dan senang, aku memohon kepadaMu nikmat yang tidak berkurangan, aku memohon kepadaMu zuriat yang sejuk dipandang mata dan tidak akan putus, aku memohon kepadaMu keredhaan selepas ditakdirkan (terjadi sesuatu), aku memohon kepadaMu kehidupan yang baik selepas mati, aku memohon kepadaMu kelazatan melihat wajahMu, kerinduan untuk bertemu denganMu tanpa kesusahan yang memudaratkan dan fitnah (ujian) yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan iman dan jadikanlah kami orang yang memimpin kepada kebenaran dan orang yang mengikut kebenaran .

-Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil. Aku berlindung denganMu daripada diterbalikkan situasiku berubah menjadi tersangat berumur tua renta. Aku berlindung denganMu daripada fitnah dunia, dan aku berlindung denganMu daripada fitnah kubur.

-Ya Allah, ampunkanlah bagiku dosaku yang dahulu dan yang kemudian, yang aku sembunyikan dan aku zahirkan, yang aku terlanjur dan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku mengenainya. Engkaulah Yang Maha Mendahulukan, dan Engkaulah Yang Maha Mengakhirkan. Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredaanMu daripada kemurkaanMu, dan dengan keampunanMu daripada balasanMu, dan aku berlindung denganMu daripada (murka dan azab)Mu. Aku tidak dapat menghintung pujian atasMu seperti yang telah Engkau memuji diriMu sendiri.

Ya Allah, sesungguhnya aku telah begitu banyak menzalimi diriku, sedangkan tiada yang dapat mengampuni dosa-dosa melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan dari sisiMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

Aku berlindung dengan Allah daripada segala fitnah, sama ada apa yang zahir daripadanya mahupun tersembunyi. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada fitnah api neraka, azab api neraka, fitnah kubur, azab kubur, keburukan fitnah kekayaan dan keburukan fitnah kefakiran

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kehilangan nikmatMu, berubahnya afiat yang diberi olehMu, balasanMu yang datang secara mengejut dan segala kemurkaanMu.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penguasaan musuh. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada bala yang menyusahkan, ditimpa kecelakaan, takdir yang buruk, dan ditertawakan oleh para musuh.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada sifat lemah, malas, pengecut dan bakhil. Aku berlindung denganmu daripada azab kubur. Aku berlindung denganmu daripada fitnah kehidupan dan kematian.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan serta kematian, dan daripada keburukan fitnah al-Masih Dajjal.

Ya Allah, Engkaulah yang Maha Raja (Memerintah). Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau adalah Tuhanku, dan aku pula adalah hambaMu. Aku telah menzalimi diriku, dan mengakui dosaku, maka ampunilah bagiku segala dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau. Ya Allah, tunjukilah aku sebaik-baik akhlak. Tiada ada yang boleh menunjukkan aku kepadanya melainkan Engkau. Hindarkanlah dariku akhlak yang buruk. Tiada yang dapat menghindarkannya dariku melainkan Engkau. Aku menyahut seruanMu dengan penuh kegembiraan. Seluruh kebaikan ada di kedua tanganMu. Kejahatan tidak dinisbahkan kepadaMu. Hanya denganMu aku bergantung dan hanya kepadaMu aku berlindung. Engkau Maha Berkat dan Maha Tinggi. Aku memohon keampunanMu dan aku bertaubat kepadaMu.

Ya Allah. Wahai Tuhan Jibrail, Mikail, dan Israfil, yang Maha Pencipta langit dan bumi, lagi Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata, Engkaulah yang menghakimi di antara hamba-hambaMu dalam setiap perkara yang mereka berselisih padanya. Pimpinlah aku dalam menghadapi perselisihan itu ke arah kebenaran dengan izinMu. Sesunggguhnya Engkau berkuasa memimpin orang yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.

-Ya Allah, wahai Tuhan langit dan Tuhan bumi, wahai Tuhan Arasy yang agung, wahai Tuhan kami dan Tuhan setiap sesuatu, yang membelah biji dan butir untuk tumbuh, yang menurunkan Taurat, Injil dan Al-Quran yang membezakan antara hak dan batil, aku berlindung denganMu daripada kejahatan tiap-tiap sesuatu, yang Engkau jualah berkuasa ke atasnya. Ya Allah, Engkaulah Yang Awal dan tiada sebelumMu sesuatu, Engkaulah Yang Terakhir dan tiada selepasMu sesuatu. Engkaulah Yang Zahir dan tiada di atasMu sesuatu, Engkaulah Yang Batin dan tiada sesuatu di bawahMu, tunaikanlah bagi kami hutang kami, dan berikanlah kami kekayaan agar kami bebas daripada kefakiran.

-Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakanku, dan aku pula adalah hambaMu. Aku tetap di atas perintahMu dan perjanjianMu sekadar keupayaanku. Aku berlindung denganMu daripada segala kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui nikmatMu ke atasku adalah milikMu, dan aku mengaku akan dosaku, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau.

-Ya Allah, ampunkanlah bagiku dosaku, kejahilanku, keterlanjuranku dalam urusanku, dan segala perkara yang Engkau lebih mengetahui daripadaku mengenainya. Ya Allah, ampunkanlah bagiku ketegasanku, gurauanku, kesilapanku dan kesengajaanku. Segala-galanya itu ada di sisiku.

-Ya Allah, ampunkanlah bagiku dosaku yang dahulu dan yang kemudian, yang aku sembunyikan dan aku zahirkan. Engkaulah Yang Maha Mendahulukan, dan Engkaulah Yang Maha Mengakhirkan. Engkaulah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

-Ya Allah, ampunkanlah bagiku segala dosaku, dosa yang kecil dan dosa yang besar, dosa yang awal dan dosa yang akhir, dosa yang nyata dan dosa yang tersembunyi. Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, dan berikanlah pimpinan hidayah, kesihatan, serta rezeki kepadaku.

-Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi perlindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang di dalamnya ada sumber hidupku, dan perbaikilah bagiku akhiratku yang di dalamnya ada tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini tempat untuk aku menambah bekalan dalam setiap kebaikan, dan jadikanlah kematian itu tempat untuk aku berehat sepenuhnya daripada setiap kejahatan.

-Ya Allah, berilah diriku sifat takwanya, dan sucikanlah ia. Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya. Engkaulah pemeliharanya dan pemiliknya. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tiada qanaah, dan doa yang tidak terkabul.

-Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung denganMu daripada menyekutukanMu dengan sesuatu yang kami mengetahuinya, dan kami memohon keampunan kepadaMu terhadap perkara yang tidak kami mengetahuinya.

-Ya Allah, aku memohon kepadaMu kemaafan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku memohon kepadaMu kemaafan dan kesejahteraan pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutupkanlah keaibanku, dan amankanlah diriku daripada rasa takut. Ya Allah, peliharalah diriku dari hadapan dan belakangku, dari kanan dan kiriku, serta dari atasku, dan aku berlindung dengan keagunganMu daripada dibinasakan dari sebelah bawahku.

-Aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila, dan kusta. Aku juga berlindung denganMu daripada segala penyakit yang buruk.

-Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.