Ya Allah, kepada-Mu aku memohon, sesungguhnya aku telah bersaksi bahawa Engkaulah Allah, tiada tuhan yang berhak disembang melainkan Engkau yang Esa, yang bergantung pada-Nya setiap sesuatu, Yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.
Ya Allah, kepada-Mu aku memohon, sesungguhnya bagi Engkaulah segala pujian, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Engkau Yang Esa tiada sekutu bagi Engkau, Yang Mengurniakan anugerah, Yang Mengadakan langit dan bumi, Yang Mempunyai Kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan Yang Tetap Hidup, Yang Kekal Mentadbir selama-lamanya, aku memohon kepada-Mu syurga dan aku berlindung dengan-Mu daripada neraka.
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan sifat Engkau yang Maha Esa, yang bergantung pada-Nya setiap sesuatu, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan serta tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Mu, agar Engkau mengampuni dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Ya Allah, dengan pengetahuan Engkau terhadap perkara yang ghaib dan kekuasaan Engkau ke atas makhluk, hidupkan aku sekiranya Engkau mengetahui hidup itu lebih baik bagiku dan matikanlah aku sekiranya Engkau mengetahui mati lebih baik bagiku. Ya Allah, daripada-Mu aku memohon sifat takut akan Engkau sama ada dalam keadaan sembunyi atau nyata. Aku memohon untuk mampu berkata benaik baik ketika redha atau marah, aku memohon kepada-Mu kesederhanaan semasa senang atau susah, aku memohon kepada-Mu nikmat yang tidak berkurangan, aku memohon kepada-Mu zuriat yang sejuk dipandang mata dan tidak akan putus, aku memohon kepada-Mu keredhaan selepas ditakdirkan (terjadi sesuatu), aku memohon kepada-Mu kehidupan yang baik selepas mati, aku memohon kepada-Mu kelazatan melihat wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu tanpa kesusahan yang memudaratkan dan fitnah (ujian) yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan iman dan jadikanlah kami orang yang memimpin kepada kebenaran dan orang yang mengikut kebenaran.
Ya Allah, aku memohon daripada-Mu syurga dan aku berlindung dengan-Mu daripada neraka.
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada sifat bakhil, aku berlindung dengan-Mu daripada menjadi pengecut, aku berlindung dengan-Mu daripada dikembalikan dalam keadaan amat tua (nyanyuk), aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dunia dan aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur.
Ya Allah, bantulah aku dalam mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu serta melakukan ibadat yang terbaik kepada-Mu.
Ya Allah, ampunkanlah dosaku yang terdahulu dan yang terkemudian, yang aku sembunyikan dan aku zahirkan, yang aku terlanjur dan yang Engkau lebih mengetahui mengenainya dariku. Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang melewatkan. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.
Ya Allah, aku telah banyak menzalimi diriku dan tidak ada yang berhak untuk mengampunkan dosa kecuali Engkau. Ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan kasihanilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah Al-Masih Dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada dosa dan hutang.
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahannam, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah (ujian) kehidupan dan kematian dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah Al-Masih Dajjal