Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam.
Allah Ta’ala berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah: 6)
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: "Tidak diterima solat seseorang tanpa wuduk." (Hadis riwayat Muslim).
Tatacara wuduk yang telah disyariatkan bagi lelaki dan perempuan:
Beristinjak bagi sesiapa sahaja yang telah terbatal wuduknya disebabkan suatu yang keluar daripada kedua kemaluan, sama ada air kencing, najis atau lain-lain. Adapun selain daripada apa yang telah disebutkan, maka tidak disyaratkan untuk beristinjak disebabkannya.
Seseorang yang beristinjak, sama ada lelaki atau wanita hendaklah membasuh kawasan kedua kemaluannya dengan air sebanyak tiga kali atau lebih, sehinggalah ia benar-benar bersih dari sebarang kesan najis. Air adalah lebih diutamakan (untuk beristinjak). Jika seseorang beristinjak dengan menggunakan air dan suatu yang kesat, maka itu lebih sempurna dan utama.
Seorang muslim yang hendak berwuduk wajib berniat wuduk dengan hati tanpa perlu melafazkannya dengan lidah.
Seseorang disunatkan untuk mengucapkan basmalah (Bismillah) ketika dia memulakan wuduk. Malah sebahagian para ‘ulama berpendapat bahawa ianya adalah wajib.
Seseorang disunatkan untuk membasuh kedua telapak tangannya sebanyak tiga kali.
Dia hendaklah berkumur, melakukan istinsyaq dan istinthar sebanyak tiga kali. Jika dia melakukannya dengan tiga cedokan, maka itu adalah lebih baik. Jika tidak, maka dia boleh melakukannya dengan enam cedokan. Maksud berkumur adalah seseorang memasukkan air ke dalam mulutnya, mengocak-ngocak air tersebut di dalamnya kemudian mengeluarkannya. Istinsyaq pula bermaksud menyedut air ke dalam hidung, kemudian mengeluarkan air tersebut setelah itu. Proses ini dinamakan sebagai istinthar.
Diwajibkan bagi seseorang yang berwuduk untuk membasuh mukanya secara sempurna. Batasan wajah bermula dari telinga ke telinga secara melintang, dan dari akar rambut hingga ke dagu secara menegak.
Diwajibkan bagi seseorang yang berwuduk untuk membasuh kedua tangannya dari hujung jari hingga ke siku; sikunya termasuk dalam basuhan tersebut. Dia hendaklah membasuh tangan kanannya terlebih dahulu sebelum membasuh tangan kirinya.
Diwajibkan bagi seseorang yang berwuduk untuk menyapu kepalanya dengan air. Ia dilakukan dengan meletakkan tangannya pada bahagian hadapan kepala, kemudian mengusapnya hingga ke bahagian tengkuk. Setelah itu, dia hendaklah menggerakkan semula sapuan tersebut ke bahagian hadapan kepalanya. Setelah itu, dia hendaklah mengusap kedua telinganya. Ia dilakukan dengan memasukkan kedua jari telunjuknya ke dalam telinga, kemudian mengusap permukaan telinga dengan kedua ibu jarinya.
Diwajibkan bagi seseorang yang berwuduk untuk membasuh kedua kakinya dari hujung jari hingga ke buku lali. Buku lali adalah dua bonjolan tulang yang terletak di bahagian bawah betis seseorang. Ia termasuk bahagian yang perlu dibasuh. Seseorang hendaklah membasuh kaki kanannya terlebih dahulu sebelum membasuh kaki kirinya.
Ketika seseorang berkumur-kumur, beristinsyaq, membasuh wajah, serta kedua-dua belah tangan dan kakinya, disunatkan untuk dilakukan sebanyak tiga kali. Adapun bahagian kepalanya, maka hanya disapu sebanyak satu kali beserta kedua-dua belah telinganya. Inilah kadar yang disunatkan. Sekiranya dia hanya membasuh wajahnya sebanyak satu kali sahaja, hendaklah dia meratakan air pada wajahnya. Kemudian dia meratakan air pada kedua-dua belah tangannya satu kali. Demikianlah kedua belah kakinya juga diratakan air padanya satu kali. Atau pun dia boleh meratakan air pada semua anggota tersebut sebanyak dua kali. Telah sabit daripada sunnah baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam bahawa baginda pernah berwuduk dengan satu kali basuhan, dua kali basuhan, atau tiga kali basuhan. Telah sabit juga daripada sunnah baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam bahawa baginda pernah berwuduk pada sebahagian anggotanya dengan tiga kali basuhan, manakala pada sebahagian anggotanya yang lain dengan dua kali basuhan. Maka alhamdulillah terdapat pandangan yang luas dalam bab ini.
Maka orang yang ingin berwuduk perlulah menghilangkan segala perkara yang boleh menyekat air untuk sampai ke permukaan kulit dan kuku bagi anggota yang hendak dibasuhnya, iaitu wajah, tangan, atau kakinya. Antara perkara yang perlu diihilangkan adalah doh (adunan tepung), lemak yang beku atau lilin dan seumpamanya yang termasuk dalam bahan-bahan yang boleh menghalang air untuk sampai ke permukaan kulit atau kuku, seperti bahan manikur (sejenis pewarna) yang diletakkan oleh wanita di atas kukunya.
Disunatkan untuk berdoa setelah seseorang selesai berwuduk dengan mengucapkan:
أشهَدُ أنْ لا إلهَ إلَّا اللهُ وحدَه لا شريكَ له وأنَّ محمدًا عبدُه ورسولُه
اللهمَّ اجعَلْني منَ التوَّابينَ واجعَلْني منَ المُتَطَهِّرينَ
"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Ya Allah, jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan dari golongan mereka yang mensucikan diri."
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: "Barangsiapa yang berwuduk dengan sempurna kemudian dia mengucapkan: ‘Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan utusanNya.’, nescaya akan dibukakan baginya pintu-pintu syurga yang berjumlah lapan buah pintu, dia boleh masuk ke dalamnya melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis riwayat Muslim)
Terdapat tambahan setelah itu yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dengan sanad yang hasan: "Ya Allah, jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan dari golongan mereka yang mensucikan diri."