Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas nabi dan rasul yang paling mulia.
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk." (Surah Al-Baqarah: 43)
Daripada Ibnu Umar radhiyallahu 'anhuma, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: "Agama Islam didirikan di atas lima perkara: Penyaksian seseorang bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah hamba dan utusanNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji serta berpuasa pada bulan Ramadan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam juga bersabda: "Sesungguhnya pemisah antara seorang lelaki dan antara kekufuran serta kesyirikan adalah meninggalkan solat." (Hadis riwayat Muslim)
Solat lima waktu sehari semalam adalah rukun Islam yang sangat dituntut selepas dua kalimah syahadah. Solat merupakan hubungan antara hamba dan penciptanya, dan hubungan antara orang Islam dan Tuhannya. Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah memutuskan hubungannya dengan Allah. Ibadat solat adalah wajib ke atas lelaki dan wanita Islam walau apa pun situasi yang berlaku, sama ada dalam situasi aman atau takut, dalam situasi sihat atau sakit, dan dalam situasi bermukim atau bermusafir. Dalam setiap situasi ada cara dan sifat solat yang sesuai dari segi bentuk dan bilangan rakaatnya. Maka kewajipan solat tidak boleh digugurkan dalam apa juga keadaan sekalipun, selagi akal seorang manusia masih lagi berfungsi. Ia tidak boleh ditinggalkan atau dilaksanakan di luar waktunya. Jika seseorang tidak mampu untuk memenuhi syarat-syarat solat seperti taharah, menutup aurat, atau menghadap kiblat, dia tetap perlu melaksanakannya walaupun tanpa taharah (bersuci), tanpa menutup aurat dan tanpa menghadap kiblat, semuanya adalah dengan mengikut kemampuannya.
Solat adalah suatu ibadah yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan tertentu, yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Solat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam penuh dengan ketenangan dan kekhusyukan. Solat baginda adalah solat yang paling afdhal dan paling sempurna. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: "Laksanakanlah solat sepertimana kalian melihat aku melaksanakannya." (Hadis riwayat Bukhari)
Panduan Lengkap Solat adalah seperti berikut:
Seorang yang melaksanakan solat perlu menghadap kiblat dengan seluruh tubuhnya; di mana sahaja dia berada. Menghadap kiblat adalah salah satu syarat sah solat. Seseorang disunatkan untuk meletakkan sesuatu sebagai sutrah (pemisah) di hadapannya, sama ada dia menunaikan solat secara sendirian atau menjadi imam.
Seorang yang melaksanakan solat hendaklah berniat dengan hati untuk menentukan solat yang ingin dilaksanakan, sama ada solat fardu atau solat sunat. Dia tidak perlu melafazkannya dengan lidah, kerana melafazkan niat dengan lidah adalah tidak disyariatkan. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam dan para sahabatnya tidak pernah melafazkan niat mereka (dengan lidah).
Seorang yang melaksanakan solat fardhu diwajibkan untuk mengerjakannya dalam keadaan berdiri. Jika dia tidak mampu, dia perlu melaksanakannya dalam keadaan duduk. Jika dia masih lagi tidak mampu, maka dia perlu melaksanakannya dalam keadaan mengiring, dengan menjadikan mukanya menghadap kiblat. Jika dia tidak mampu juga, maka dia perlu melaksanakan solat dalam keadaan terlentang. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda kepada 'Imran bin Husain: "Laksanakanlah solat dalam keadaan berdiri. Jika engkau tidak mampu, maka laksanakanlah ia dalam keadaan duduk. Dan jika engkau masih lagi tidak mampu, maka solatlah secara mengiring." (Hadis riwayat Bukhari). An-Nasa'i menambah: "Jika engkau tidak mampu, maka solatlah secara terlentang."
Seorang yang menunaikan solat hendaklah melafazkan takbiratul ihram dalam keadaan berdiri dengan mengucapkan: "Allahu Akbar". Ia merupakan rukun solat yang pertama, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam: "Kunci kepada solat adalah bersuci. Pembuka bagi solat adalah takbiratul ihram, manakala penutupnya pula adalah dengan memberi salam." Ketika seseorang bertakbir, dia disunatkan untuk mengangkat kedua tangannya hingga ke paras kedua bahu atau telinganya. Dia juga disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujudnya.
Selain itu, dia disunatkan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya dan meletakkan pergelangan tangan dan lengannya di dadanya, sebagaimana yang dinukilkan daripada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam.
Seterusnya, dia disunatkan untuk membaca doa iftitah:
اللَّهمَّ باعِدْ بَيْني وبَيْن خَطايايَ كما باعَدْتَ بَيْنَ المشرِقِ والمغرِبِ، اللَّهمَّ نقِّني مِن الخَطايا كما يُنقَّى الثَّوبُ الأبيضُ مِن الدَّنَسِ، اللَّهمَّ اغسِلْني مِن خَطايايَ بالماءِ والثَّلجِ والبَرَدِ
"Ya Allah, jauhkanlah daku dari segala dosa-dosaku sebagaimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah daku dari dosa-dosaku sebagaimana pakaian putih dibersihkan dari segala kotoran. Ya Allah, sucikanlah daku dari segala dosa-dosaku dengan air, salji dan hujan batu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Atau membaca:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وبِحَمْدِكَ، تَبَارَكَ اسْمُكَ، وتَعَالَى جَدُّكَ، ولَا إلَهَ غَيْرُكَ
"Ya Allah, Maha Suci Engkau dan segala puji buatMu. Maha Berkat namaMu, Maha Tinggi keagunganMu dan tiada tuhan melainkan Engkau."
Dia juga disunatkan untuk membaca:
أَعُوذُ باللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، بسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
"Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."
Seseorang yang menunaikan solat wajib membaca Surah Al-Fatihah. Ia merupakan rukun kedua dalam solat. Dalilnya sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam: "Tidak sah solat seseorang yang tidak membaca Surah Al-Fatihah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Surah Al-Fatihah hendaklah dibaca dengan tartil dan perasaan khusyuk dengan memberikan setiap huruf haknya dengan sempurna.
Dia disunatkan untuk menyaringkan suaranya ketika membaca Surah Al-Fatihah pada dua rakaat yang pertama semasa menunaikan Solat Maghrib, Solat Isya', Solat Subuh dan Solat Jumaat. Semasa menunaikan Solat Zuhur, Solat Asar, rakaat terakhir dalam Solat Maghrib serta dua rakaat terakhir Solat Isya pula, dia hendaklah membacanya dengan suara yang perlahan yang hanya dirinya sendiri yang mendengarnya. Apabila dia membaca "Waladh Dhalin" (ولا الضّالِّين), dia disunatkan untuk mengucapkan "Amin" (آمين).
Setelah selesai membaca Surah Al-Fatihah, dia disunatkan untuk membaca apa sahaja ayat Al-Qur'an yang mudah (baginya). Yang paling afdhal adalah membaca salah satu surah daripada Awsat Al-Mufassal (Surah An-Naba' hingga Surah Al-Lail) pada Solat Zuhur, Asar, dan Isya’ serta membaca Thiwal Al-Mufassal (Surah Qaf hingga Surah Al-Mursalat) pada Solat Subuh. Manakala dalam solat Maghrib pula, seseorang disunatkan untuk membaca satu surah dari Thiwal Al-Mufassal atau Qisar Al-Mufassal (Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas). Keutamaan ini telah diriwayatkan dalam hadis-hadis yang sahih.
Seseorang yang menunaikan solat diwajibkan untuk rukuk. Rukuk adalah rukun ketiga dalam ibadah solat. Semasa turun untuk rukuk, seseorang diwajibkan untuk melafazkan "Allahu Akbar". Ketika bertakbir untuk rukuk, seseorang disunatkan untuk mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahu atau telinganya serta memastikan kepalanya selari dengan bahagian belakang badannya dalam keadaan tegak dan tenang, sambil meletakkan kedua tangannya pada lutut dengan merenggangkan jari-jemarinya. Dia wajib membaca: (سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ) "Subhana Rabbiyal 'Azhim" (Maksudnya: "Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung"). Dia disunatkan sebanyak tiga kali atau lebih. Dia juga disunatkan untuk membaca: (سُبْحانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنا وبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي) "Subhanaka Allahumma wa Bihamdika, Allahumma Ighfirli" (Maksudnya: Maha Suci Engkau, Ya Allah Ya Tuhan kami dan segala puji untukMu. Ya Allah, ampunilah daku.) (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Mengangkat kepala daripada rukuk dan berdiri tegak dengan sempurna. Ini adalah rukun keempat dan rukun kelima dalam solat. Dia wajib untuk mengucapkan: ( سَمِعَ اللَّهُ لِمَن حَمِدَهُ ) "Sami'a Allahu Liman Hamidahu" (Maksudnya: Allah telah mendengar orang-orang yang memujiNya) jika dia merupakan seorang imam atau dia solat sendirian. Dia juga diwajibkan untuk mengucapkan (ربَّنا وَلَكَ الحمدُ) "Rabbana Wa Lakal Hamdu" (Maksudnya: Wahai Tuhan kami, bagi Engkau segala pujian.) ketika dia berdiri; sama ada dia merupakan seorang imam, makmum atau dia mengerjakan solat secara sendirian. Dia disunatkan untuk mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahu atau telinga ketika dia bangun dari rukuk.
Dia juga disunatkan untuk mengucapkan selepas (ربَّنا وَلَكَ الحمدُ) "Rabbana Wa Lakal Hamdu" dengan tambahan:
(حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ مِلْءُ السَّمَوَاتِ ومِلْءُ الأرْضِ، وَمِلْءُ ما بيْنَهُمَا، ومِلْءُ ما شِئْتَ مِن شيءٍ بَعْدُ) "Hamdan Kathiran Toyyiban Mubarakan Fihi, Mil-Us Samawati wa Mil-Ul Ardhi wa Mil-U Ma Baynahuma wa Mil-U Ma Syikta Min Syai'in Ba'du." (Maksudnya: Aku memujiMu dengan pujian sepenuh langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Juga sepenuh yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepas itu.)
Seseorang yang menunaikan solat diwajibkan untuk sujud di atas tujuh anggota badan, iaitu: dahi beserta hidung, kedua tangan, kedua lutut dan jari kedua kakinya bahagian dalam. Ini merupakan rukun keenam dalam solat. Semasa dia turun untuk sujud, dia diwajibkan untuk mengucapkan: "Allahu Akbar". Dia disunatkan untuk mendahulukan kedua lututnya terlebih dahulu sebelum meletakkan kedua tangannya ketika dia turun untuk sujud jika ia mudah baginya. Namun begitu, jika dia merasa sukar untuk melakukannya, dia boleh mendahulukan kedua tangannya sebelum meletakkan kedua lututnya (ketika turun untuk sujud).
Selain itu, dia disunatkan untuk menjarakkan kedua lengannya dari sisi badan, perutnya dari bahagian paha, pahanya dari bahagian betis serta mengangkat kedua lengannya daripada tanah. Kedudukan kaki dan tangannya hendaklah menghadap ke arah kiblat. Dia juga perlu merapatkan dan membentangkan jari-jemarinya.
Semasa sujud, dia diwajibkan untuk mengucapkan: (سُبْحَانَ رَبِّيَ الأعْلَى) "Subhana Rabbiya A'la" (Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi). Dia disunatkan untuk mengucapkannya sebanyak tiga kali atau lebih. Dia juga disunatkan untuk mengucapkan: (سُبْحانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنا وبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي) "Subhanaka Allahumma Rabbana wa Bihamdika, Allahumma Ighfirli" (Maksudnya: Maha Suci Engkau Ya Allah, Ya Tuhan kami dan segala pujian bagi-Mu. Ya Allah, ampunilah aku) dan memperbanyakkan doa, kerana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam telah bersabda: "Dan perbanyakkanlah berdoa dalam sujud, kerana ia adalah tempat dimana doa mudah dimakbulkan." Semasa berdoa, dia boleh memohon kepada Allah Ta’ala akan segala kebaikan dunia dan akhirat, samada ada dalam solat fardhu atau solat sunat.
Antara doa yang ma'thur adalah:
اللهم يا مُقلِّبَ القلوبِ، ثبِّتْ قَلْبِي على دِينِكَ
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu.”
Mengangkat kepala daripada sujud dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan duduk di antara dua sujud. Ini adalah rukun ketujuh dalam solat. Dia diwajibkan untuk membaca: (رَبِّ اغْفِرْلِي) "Rabbighfir Li." (Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah daku.) Dia hendaklah duduk dengan penuh thuma'ninah dan tidak tergesa-gesa.
Dia disunatkan untuk duduk dengan mengiringkan kaki kirinya dan duduk di atasnya serta menegakkan kaki kanannya. Dia juga hendaklah meletakkan kedua tangannya di atas paha dan lututnya. Selain itu, dia disunatkan untuk mengucapkan: (وارحَمْنِي وَاهْدِنِي وارْزُقْني وعافِنِي واجْبُرْني) "Warhamni Wahdini Warzuqni Wa'afini Wajburni." (Maksudnya: Rahmatilah aku, kurniakanlah hidayah kepadaku, kurniakanlah rezeki kepadaku, selamatkanlah aku dan tampungilah kekuranganku)
Kemudian, dia hendaklah sujud untuk kali kedua dengan bertakbir serta melakukan apa yang dilakukan pada sujud pertama. Setelah sujud kedua, dia hendaklah bangun kembali untuk memulakan rakaat kedua. Dia disunatkan untuk bangun dengan kudrat lututnya jika ia mudah baginya. Jika dia mengalami kesukaran, dia boleh bertongkat (dengan tangan) kepada tanah. Kemudian, dia hendaklah mengulang semula segala pergerakan dan bacaan sepertimana yang dia telah lakukan pada rakaat pertama.
Duduk tasyahhud akhir. Ini merupakan rukun kelapan. Rukun ini dilakukan setelah seseorang mengangkat kepalanya daripada sujud kedua pada rakaat kedua. Hal ini sekiranya solat yang dikerjakan itu hanya terdiri daripada dua rakaat, seperti Solat Subuh, Solat Jumaat dan Solat Hari Raya.
Duduk tasyahhud akhir dan membaca tasyahhud. Ini adalah rukun kesembilan dan rukun kesepuluh. Lafaz tasyahhud adalah seperti berikut:
التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ والصَّلَوَاتُ والطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أيُّها النبيُّ ورَحْمَةُ اللَّهِ وبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وعلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أشْهَدُ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأَشْهَدُ أنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ ورَسولُهُ
"At-Tahiyyatu Lillahi was Salawatu wat Tayyibat, As-Salamu 'Alaika Ayyuhan Nabiyyu wa Rahmatullahi wa Barakatuh, As-Salamu 'Alaina wa ‘Ala 'Ibadillahi As-Solihin, Asyhadu Alla ilaha illa Allah, wa Asyhadu Anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluhu."
(Maksudnya: Segala penghormatan adalah milik Allah. Begitu juga kesejahteraan dan kebaikan. Selawat dan salam ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat Allah dan berkatNya keatasmu. Salam sejahtera ke atas kami dan sekalian hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya)
Kemudian dia berselawat ke atas Nabi. Ini merupakan rukun kesebelas. Dia disunatkan untuk berselawat dengan lafaz berikut:
اللَّهُمَّ صَلِّ علَى مُحَمَّدٍ، وعلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كما صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعلَى آلِ إبْرَاهِيمَ، إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ علَى مُحَمَّدٍ، وعلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كما بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعلَى آلِ إبْرَاهِيمَ، إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Allahumma Solli 'Ala Muhammadin wa 'Ala Ali Muhammadin, Kama Sollaita 'Ala Ibrahima wa ‘Ala Ali Ibrahima, Innaka Hamidum Majid. Wa Barik 'Ala Muhammadin wa ‘Ala Ali Muhammadin, Kama Barakta 'Ala Ibrahima wa ‘Ala Ali Ibrahima, Innaka Hamidum Majid."
Dia juga disunatkan untuk memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara, dengan membaca:
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ المَسِيحِ الدَّجَّالِ.
"Allahumma Inni A'udzu Bika min 'Adzabi Jahannam, wa min 'Adzabil Qabr, wa min Fitnatil Mahya wal Mamat, wa min Fitnatil Masihid Dajjal."
(Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahannam, aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah (ujian) kehidupan dan kematian serta berlindung denganMu daripada fitnah Al-Masih Dajjal)
Kemudian, dia boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang dia mahu.
Dalam keadaan ini, dia disunatkan untuk menegakkan kaki kanannya, mengiringkan kaki kirinya dan meletakkan tangan kanannya di atas paha kanan sambil menggenggam semua jari-jemarinya kecuali jari telunjuk, yang digunakan sebagai isyarat tauhid. Jika dia menggenggam jari kelingking dan jari manisnya, melingkarkan ibu jarinya bersama jari tengah dan mengisyaratkan dengan jari telunjuk, maka ia adalah suatu amalan yang baik kerana kedua-dua cara ini telah diriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam. Dalam masa yang sama, dia hendaklah meletakkan tangan kirinya di atas paha dan lutut kirinya. Dia disunatkan untuk duduk secara tawarruk semasa tahiyyat akhir dalam solat yang mempunyai lebih daripada dua rakaat. Duduk secara tawarruk dilakukan dengan cara menegakkan kaki kanannya dan mengeluarkan kaki kirinya dari bahagian bawah betis kanannya.
Pada Solat Maghrib, Zohor, Asar dan Isyak, seseorang diwajibkan untuk membaca tasyahhud awal. Bacaannya adalah:
التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ والصَّلَوَاتُ والطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أيُّها النبيُّ ورَحْمَةُ اللَّهِ وبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وعلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أشْهَدُ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأَشْهَدُ أنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ ورَسولُهُ
"At-Tahiyyatu Lillahi was Salawatu wat Tayyibat, As-Salamu 'Alaika Ayyuhan Nabiyyu wa Rahmatullahi wa Barakatuh, As-Salamu 'Alaina wa ‘Ala 'Ibadillahi As-Solihin, Asyhadu Alla ilaha illa Allah, wa Asyhadu Anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluhu."
Setelah tahiyyat awal, dia diwajibkan untuk bangun semula ke rakaat ketiga sambil bertakbir. Dia disunatkan untuk mengangkat kedua tangannya sambil mengucapkan "Allahu Akbar". Setelah itu, dia perlu menyempurnakan solatnya sepertimana yang telah dijelaskan. Semasa dia hendak bangun berdiri, dia disunatkan menggunakan kudrat lututnya sambil bertakbir "Allahu Akbar" dengan mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahu atau telinganya.
Memberi salam sebanyak dua kali setelah selesai daripada tasyahhud akhir. Ini adalah rukun kedua belas. Dia wajib mengucapkan:
السَّلامُ عَلَيْكَ ورَحْمَةُ اللَّهِ، السَّلامُ عَلَيْكَ ورَحْمَةُ اللَّهِ
"As-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullah, As-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullah."
(Maksudnya: Semoga engkau memperoleh kesejahteraan dan rahmat Allah)
Dia disunatkan untuk berpaling muka ke kanan semasa salam pertama, kemudian berpaling muka pula ke kiri semasa salam kedua.
Seseorang dianjurkan untuk beristighfar sebanyak tiga kali dengan mengucapkan: (أَسْتَغْفِر الله) "Astaghfirullah". Kemudian mengucapkan:
اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ.
"Allahumma Antas Salam wa Minkas Salam, Tabarakta ya Dzal Jalali wal Ikram."
(Maksudnya: Ya Allah, Engkau sejahtera daripada segala keaiban, daripada Engkaulah (datangnya) kesejahteraan, bertambah-tambah berkatMu ya Allah, Tuhan Yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan)
Setelah itu, dia disunatkan untuk mengucapkan:
لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وحْدَهُ لا شَرِيكَ له، له المُلْكُ، وله الحَمْدُ، وهو علَى كُلِّ شيءٍ قَدِيرٌ ، اللَّهُمَّ لا مَانِعَ لِما أعْطَيْتَ ، ولَا مُعْطِيَ لِما مَنَعْتَ، ولَا يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ. لا حَوْلَ ولَا قُوَّةَ إلَّا باللَّهِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ، له النِّعْمَةُ وَلَهُ الفَضْلُ، وَلَهُ الثَّنَاءُ الحَسَنُ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ مُخْلِصِينَ له الدِّينَ ولو كَرِهَ الكَافِرُونَ
"La ilaha illa Allah Wahdahu la Syarika Lahu, Lahul Mulku wa Lahul Hamdu wa Huwa ‘Ala Kulli Syai-in Qadir. Allahumma La Mani'a Lima A'toitah wa La Mu'tiya Lima Mana'ta wa La Yanfa'u Dzal Jaddi Minkal Jad. La Hawla wa La Quwwata illa Billah. La ilaha illa Allah wa La Na'budu illa iyyah, Lahun Ni'matu wa Lahul Fadhlu wa Lahuth Thanaul Hasan, La Ilaha illa Allah Mukhlisina Lahud Din wa Law Karihal Kafirun."
(Maksudnya: "Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi- Nya, bagi-Nya segala kekuasaan dan segala pujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Ya Allah, tiada yang dapat menghalang sesuatu yang telah Engkau berikan dan tiada yang mampu memberi sesuatu yang telah Engkau halangi, serta tidak bermanfaat orang yang mempunyai kelebihan (harta, keturunan, kekuasaan) dengan kelebihannya itu daripada kekuasaan Engkau. Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya. Milik-Nya segala nikmat, bagi-Nya segala kelebihan dan bagi-Nya pujian yang elok. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, kami mengikhlaskan ibadah hanya kepada- Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.)
Kemudian, dia dianjurkan untuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak tiga puluh tiga kali. Setelah itu, dia hendaklah mengucapkan:
لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وحْدَهُ لا شَرِيكَ له، له المُلْكُ، وله الحَمْدُ، وهو علَى كُلِّ شيءٍ قَدِيرٌ
"La Ilaha illa Allah Wahdahu la Syarika Lahu, Lahul Mulku wa Lahul Hamdu wa Huwa 'Ala Kulli Syai-in Qadir."
(Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya segala kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia berkuasa di atas setiap sesuatu(