Tatacara Solat Jenazah
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan rasul.
Amma ba'du…
Solat jenazah disyariatkan ke atas sekalian manusia, sama ada lelaki mahupun wanita. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: "Barangsiapa yang hadir untuk menyaksikan jenazah sehingga selesai jenazah itu disolatkan, maka baginya satu 'qirat'. Dan barangsiapa yang hadir untuk menyaksikannya sehingga jenazah tersebut dikebumikan, maka baginya dua 'qirat'. Para sahabat bertanya: 'Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat?' Rasulullah menjawab: 'Seperti dua gunung yang besar.'" (HR Bukhari)
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: "Barangsiapa yang mengikuti jenazah seorang muslim dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala, dan dia bersama dengan jenazah tersebut sehingga selesai ia disolatkan dan dikebumikan, maka dia akan pulang dengan meraih ganjaran dua 'qirat'. Setiap qirat adalah seperti Bukit Uhud." (Muttafaqun 'Alaih)
Hukum Solat Jenazah
Hukum solat jenazah adalah fardu kifayah. Jika sebahagian umat Islam menunaikannya, maka kewajipan tersebut gugur bagi umat Islam yang lainnya. Namun, memperbanyakkan bilangan jemaah untuk mendirikan solat jenazah adalah suatu sunnah yang dianjurkan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam: "Tidaklah jenazah seorang Muslim yang disolatkan oleh empat puluh orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, melainkan Allah Ta'ala akan menerima syafaat mereka untuknya." (HR Ahmad dan Abu Daud) Dalam riwayat lain, baginda bersabda: "Tidaklah jenazah seorang Muslim disolatkan oleh sekumpulan umat manusia yang jumlahnya seratus orang, semuanya berdoa memohon syafaat buatnya melainkan Allah Ta'ala akan menerima syafaat mereka untuknya." (HR Muslim dan Tirmizi) Oleh itu, semakin ramai bilangan kaum muslimin yang menunaikan solat jenazah, ia lebih baik bagi si mati. Mereka mendoakannya dan memohon rahmat buatnya.
Syarat-Syarat Solat Jenazah
Antara syarat solat jenazah adalah niat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat." (HR Bukhari dan Muslim) Selain itu, antara syarat solat jenazah adalah menghadap kiblat, menutup aurat, bersuci dari hadas kecil dan hadas besar serta menghindari najis.
Tatacara Solat Jenazah
Pertama: Imam hendaklah berdiri di sisi kepala jenazah lelaki dan di bahagian tengah jenazah wanita. Ini berdasarkan hadis Samurah bin Jundub yang menjelaskan bahawa kedudukan imam adalah di bahagian tengah jenazah wanita. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau menunaikan solat ke atas jenazah seorang lelaki, lalu beliau berdiri di bahagian kepala jenazah tersebut. Pada ketika lain, beliau menunaikan solat ke atas jenazah seorang wanita, lalu beliau berdiri di bahagian tengah jenazah tersebut. Beliau menyatakan bahawa ini adalah amalan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Daripada Samurah bin Jundub beliau berkata: Aku menunaikan solat di belakang Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam. Baginda menunaikan solat ke atas jenazah Ummu Ka'ab, yang telah meninggal dunia semasa nifas. Maka Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam berdiri di bahagian tengah jenazah tersebut ketika menunaikan solat ke atasnya.
Kedua: Bertakbir sebanyak empat kali. Ini berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam telah menunaikan solat jenazah ke atas Ashamah An-Najasyi, lalu baginda melaksanakannya dengan empat kali takbir. (Muttafaqun 'Alaih) Para ulama telah bersepakat bahawa berdiri semasa menunaikan solat jenazah bagi sesiapa yang mampu merupakan salah satu rukun solat jenazah.
Seseorang yang melaksanakan solat jenazah disunatkan untuk mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahunya setiap kali dia bertakbir.
1. Takbir Pertama: Dia hendaklah bertakbir dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan membaca:
أعُوذُ باللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Maksudnya: "Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."
Kemudian dia dituntut untuk membaca Surah Al-Fatihah. Dia tidak disyariatkan untuk membaca doa istiftah kerana solat jenazah adalah solat yang disyariatkan di atas dasar keringanan.
2. Takbir Kedua: Dia hendaklah bertakbir dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam dengan lafaz:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya: "Ya Allah, kurniakanlah selawat (pujian dan kesejahteraan) ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda seperti yang Engkau kurniakan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Baginda sepertimana Engkau memberkati keluarga Nabi Ibrahim di sekalian alam. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia"
3.Takbir Ketiga: Dia hendaklah bertakbir dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan berdoa untuk si mati. Antara doa yang disunnahkan untuk dibaca adalah:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحِيِّنَا، وَمَيِّتِنَا، وَشَاهِدِنَا، وَغَائِبِنَا، وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا، وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا، اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الإِسْلَامِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَّفَهُ عَلَى الإِيمَانِ
Maksudnya: "Ya Allah, Ampunilah mereka yang masih hidup dalam kalangan kami dan mereka yang telah mati, yang ada hadir bersama kami (mensolatkan jenazah ini) dan yang tiada, yang kecil dalam kalangan kami dan yang tua serta yang lelaki dalam kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam, dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman." (HR Tirmizi)
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ، وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَاراً خَيْراً مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْراً مِنْ أَهْلِهِ، اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ
Maksudnya: "Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kedudukannya, perluaskanlah kuburnya, sucikanlah dia dengan air, salji dan air hujan batu, bersihkanlah dia daripada segala dosa sebagaimana Engkau bersihkan kain yang putih dari kekotoran, gantikanlah dia rumah yang lebih baik dari rumahnya dan ahli keluarga yang lebih baik dari ahli keluarganya. Ya Allah, masukkanlah dia ke syurga dan selamatkanlah dia daripada azab kubur dan azab neraka" (HR Muslim)
وَافْسَحْ له في قَبْرِهِ، وَنَوِّرْ له فِيهِ، اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ.
Maksudnya: "Lapangkanlah ruang kuburnya dan kurniakanlah cahaya baginya di kuburnya itu. Ya Allah, janganlah Engkau halangi kami dari pahala si mati dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya."
Jika dia menambah:
اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ مُحْسِناً فَزِدْ فِي حَسَنَاتِهِ، وَإِنْ كَانَ مُسِيئاً فَتَجَاوَزْ عَنْ سَيِّئَاتِه
Maksudnya: "Sekiranya dia melakukan kebajikan maka tambahkanlah ia pada kebajikannya dan sekiranya dia berdosa, maka ampunilah dia dari segala keburukannya."
Atau dengan doa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَثَبِّتْه بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ
Maksudnya: "Ya Allah, ampunilah dia dan teguhkan dia dengan kalimah tauhid yang teguh."
Atau berdoa dengan apa sahaja doa yang baik yang seumpama dengannya, maka semua doa itu merupakan amalan yang baik.
4. Takbir Keempat: Dia hendaklah bertakbir dengan mengucapkan "Allahu Akbar", kemudian dia berdiam sejenak.
5. Kemudian dia hendaklah memberi salam dengan satu salam sahaja. Hal ini kerana solat ini adalah solat yang disyariatkan di atas dasar keringanan.
Inilah tatacara solat jenazah yang sahih menurut amalan para sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam. Tatacara solat jenazah untuk kaum lelaki dan untuk kaum wanita adalah sama sahaja, namun begitu mengiringi jenazah ke tanah perkuburan adalah khas buat kaum lelaki sahaja. Menziarahi kubur juga hanya disyariatkan bagi kaum lelaki sahaja.
Allah Ta'ala telah mensyariatkan solat jenazah dan mensyariatkan amalan mengiringi jenazah untuk kebaikan si mati, mendoakan mereka, serta untuk menghibur ahli keluarganya. Pensyariatan ini juga bertujuan sebagai suatu peringatan terhadap kematian dan apa yang akan terjadi setelah itu berupa peristiwa yang menakjubkan, menakutkan serta menggerunkan. Hal ini agar orang mukmin bersiap sedia untuk menghadapi kematian dan kehidupan selepas itu. Semoga Allah Ta'ala mengurniakan kesejahteraan dan keselamatan kepada kita semua.