Tatacara Haji
(Dari 8 hingga 13 Zulhijjah)
Haji terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
● Tamattu' – Melakukan umrah terlebih dahulu (pada bulan-bulan haji) kemudian menunaikan haji pada musim yang sama. Para jemaah haji akan bertahallul di antara keduanya. Seseorang yang mengerjakan jenis haji ini perlu membayar dam (seekor kambing).
● Qiran – Menggabungkan ibadah umrah dan haji dalam satu niat, tidak ada tahallul di antara keduanya. Seseorang yang mengerjakan jenis haji ini perlu membayar dam.
● Ifrad – Menunaikan haji sahaja tanpa umrah. Seseorang yang mengerjakan jenis haji ini tidak perlu membayar dam.
● Para jemaah haji hendaklah berniat ihram dari tempat tinggalnya jika dia berada di Makkah, atau dari miqat kawasannya atau miqat yang dilaluinya. Kaum lelaki hendaklah memakai dua helai kain putih (izar dan rida’), dan melafazkan:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ حَجًّا
(Ya Allah, aku menyahut seruan-Mu dengan mengerjakan haji)
Sambil menyebutkan jenis haji yang diniatkan.
Hari Tarwiyah - 8 Zulhijjah
● Para jemaah bergerak menuju Mina dan menunaikan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh secara qasar sahaja tanpa jamak.
Hari Arafah - 9 Zulhijjah
● Setelah terbit matahari, para jemaah akan bergerak ke Arafah dan berwukuf disana.
● Mereka akan menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak dan qasar dengan satu azan dan dua iqamat.
● Mereka digalakkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir sehinggalah matahari terbenam.
● Setelah matahari terbenam, para jemaah akan bergerak menuju Muzdalifah dengan tenang.
Bermalam di Muzdalifah - Malam 10 Zulhijjah
● Para jemaah akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak ta’khir di Muzdalifah.
● Para jemaah akan bermalam di Muzdalifah sehingga waktu Subuh menjelma, kemudian mereka akan menunaikan solat Subuh. Bagi mereka yang mempunyai keuzuran, dibenarkan untuk berangkat setelah separuh malam.
● Para jemaah hendaklah mengutip 7 biji batu kecil di tempatnya atau di (mana-mana kawasan) sepanjang perjalanan, bagi melontar Jamrah Aqabah.
Hari An-Nahr - 10 Zulhijjah
● Melontar Jamrah Aqabah dengan 7 biji batu, satu demi satu sambil bertakbir setiap kali melontar (saiz batu lebih kurang sebesar kacang kuda).
● Bercukur atau memendekkan rambut (lelaki digalakkan untuk bercukur; manakala wanita hendaklah memotong rambutnya dengan ukuran satu ruas).
● Melakukan Tawaf Ifadhah dan mengerjakan Sa’i Haji (jika seseorang belum melaksanakannya setelah dia mengerjakan Tawaf Qudum).
● Dengan itu, seseorang telah bertahallul daripada semua pantang larang ihram. Jika dia hanya melaksanakan dua daripada tiga amalan ini, dia dikira telah bertahallul dengan tahallul awal sahaja, dia dibenarkan untuk mengerjakan semua pantang larang ihram kecuali bersetubuh.
● Menyembelih dam bagi mereka yang melakukan Haji Tamattu' atau Qiran.
● Tertib dalam melaksanakan semua amalan ini adalah sunat; ia boleh dilaksanakan mengikut tertib atau tanpa tertib.
Bermalam di Mina - 11–13 Zulhijjah
● Para jemaah yang ingin melaksanakan nafar awal hendaklah bermalam di Mina pada malam ke-11 dan 12, manakala mereka yang ingin mengerjakan nafar thani perlu bermalam pada malam ke-13 juga.
● Mereka hendaklah melontar ketiga-tiga jamrah setiap hari setelah tergelincir matahari:
o Jamrah As-Sughra (7 biji batu)
o Jamrah Al-Wusta (7 biji batu)
o Jamrah Al-Kubra/Al-Aqabah (7 biji batu)
Tawaf Wada' – Ketika Hendak Meninggalkan Kota Makkah:
● Ia merupakan amalan terakhir sebelum seseorang meninggalkan Kota Makkah.
● Ia tidak diwajibkan bagi seorang wanita yang sedang haid atau nifas.
Rukun Haji:
● Berniat Ihram
● Wuquf di Arafah
● Tawaf Ifadhah
● Sa’i Haji
Wajib Haji:
● Berniat ihram di miqat yang telah ditetapkan.
● Berwukuf di Arafah hingga terbenam matahari.
● Bermalam di Muzdalifah.
● Bermalam di Mina.
● Melontar jamrah.
● Bercukur atau memendekkan rambut.
● Mengerjakan Tawaf Wada' bagi mereka yang tidak mengalami haid atau nifas.
Pantang Larang Ihram:
● Mencabut bulu dari mana-mana bahagian tubuh badan.
● Memotong kuku.
● Menggunakan wangian selepas berniat ihram (sama ada pada badan atau pakaian).
● Membunuh binatang buruan darat atau membantu dalam memburunya.
● Menikah atau menikahkan orang lain.
● Menyentuh isteri dengan syahwat (seperti mencium, menyentuh dan lain-lain).
● Bersetubuh (ia merupakan larangan yang paling berat; ia akan membatalkan ibadah haji seseorang jika ia dilakukan sebelum tahallul awal).
● Memakai pakaian berjahit yang mengikut ukuran tubuh bagi lelaki sahaja (seperti baju, seluar atau jaket).
● Menutup kepala sepenuhnya bagi lelaki sahaja (seperti memakai kopiah atau serban).
● Menutup muka bagi wanita sahaja (dengan niqab atau purdah).