Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah ﷺ, keluarganya, para sahabatnya dan ke atas mereka yang mengikuti sunnah baginda ﷺ.
Amma Ba'du,
Telah sabit daripada Nabi ﷺ bahawa baginda amat mengambil berat terhadap hari ‘Asyura dengan berpuasa padanya, serta menganjurkan orang ramai agar turut berpuasa pada hari tersebut. Ini kerana ia adalah hari di mana Allah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya, serta membinasakan Firaun dan bala tenteranya. Oleh itu, disunatkan bagi setiap kaum muslimin untuk berpuasa pada hari ini sebagai tanda syukur kepada Allah ﷻ.
Dalam As-Sahihain (Sahih Bukhari & Sahih Muslim), daripada Ibn 'Abbas radhiyallahu 'anhu, beliau ditanya mengenai puasa hari 'Asyura, lalu beliau menjawab: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ berpuasa pada satu hari, yang paling baginda bersungguh-sungguh mencari kelebihannya melainkan hari ini , yakni hari ‘Asyura, dan bulan ini, yakni Ramadan.” (HR Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihannya seperti yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dari Abu Qatadah: Seorang lelaki bertanya kepada nabi ﷺ tentang puasa Hari 'Asyura, baginda ﷺ bersabda: "Aku mengharapkan Allah ﷻ menghapuskan dosa setahun sebelumnya."
Disunatkan juga untuk berpuasa sehari sebelum Hari 'Asyura, iaitu pada hari kesembilan, kerana Nabi ﷺ berazam pada akhir hayat baginda untuk tidak hanya berpuasa sehari sahaja pada ‘Hari 'Asyura, sebaliknya mengiringinya dengan hari sebelumnya, bagi membezakan dengan Ahlul Kitab yang turut berpuasa pada hari tersebut. Dalam Sahih Muslim, daripada Ibn ʿAbbas RA, beliau berkata: Ketika Rasulullah ﷺ berpuasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan (para sahabat) untuk berpuasa pada hari tersebut, para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Jika sempat tahun hadapan, Insya-Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan.” Namun, baginda tidak sempat menemui tahun berikutnya kerana Rasulullah ﷺ wafat. Dalam riwayat yang lain, daripada Ibnu 'Abbas radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: "Jika tahun hadapan aku masih hidup, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (Muharram)", yakni berpuasa bersama hari 'Asyura.
Ibnu al-Qayyim menyebut dalam kitabnya Zad Al-Ma'ad bahawa puasa 'Asyura mempunyai tiga tingkatan:
Tingkatan yang paling sempurna ialah dengan berpuasa sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, iaitu dengan berpuasa pada hari kesembilan, kesepuluh dan kesebelas.
Tingkatan selepas itu ialah berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh, dan inilah mafhum kebanyakan hadis Rasulullah ﷺ.
Tingkatan terakhir ialah dengan berpuasa pada hari kesepuluh sahaja secara bersendirian.