Keutamaan Sepuluh Hari Awal Zulhijjah

Daripada Abdullah ibn Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah ﷺ bersabda: “Tiada amalan yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari-hari ini – yakni sepuluh hari (Awal Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Tidak juga jihad?” Baginda menjawab: “Tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar mempertaruhkan jiwa dan hartanya, lalu dia tidak kembali dengan sesuatu pun.” (Riwayat Al-Bukhari)
Dalam riwayat Ahmad daripada Abdullah ibn Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah ﷺ bersabda: “Tiada hari yang lebih agung di sisi Allah dan lebih dicintai-Nya untuk dilakukan amalan padanya melebihi hari sepuluh (Awal Zulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan Tahmid padanya (10 hari awal Zulhijjah).”
________________________________________
Keistimewaan Sepuluh Hari dan Sebab Keutamaannya:
1. Allah Ta‘ala bersumpah dengannya dalam firman-Nya: (Demi fajar, dan malam-malam yang sepuluh). Ibn Kathir berkata: “Yang dimaksudkan dengan malam-malam sepuluh itu ialah sepuluh hari Zulhijjah sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas.”
2. Ia merupakan “hari-hari yang ditentukan” dalam firman Allah: (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan).
Ibn Kathir menukilkan daripada Ibn Abbas bahawa hari-hari tersebut adalah sepuluh hari ini.
3. Allah Ta’ala mencintai amalan yang dilakukan padanya kerana ia merupakan hari-hari yang paling utama untuk beramal di sisiNya.
4. Terhimpunnya kemuliaan masa bagi seluruh umat Islam, serta kemuliaan tempat yang khusus bagi mereka yang berada di kota Mekah seperti para jemaah haji dan selainnya.
5. Terhimpunnya ibadah-ibadah yang utama. Ibn Hajar Al-Asqalani berkata: “Secara zahirnya, sebab keistimewaan sepuluh (Hari Awal) Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya ibadah-ibadah yang utama di dalamnya, iaitu ibadah solat, puasa, sedekah dan haji, dan hal ini tidak berlaku pada selainnya.”
6. Di dalamnya terdapat Hari Arafah, iaitu “hari yang disaksikan”, pada hari itu Allah Ta’ala telah menyempurnakan agama, dan puasa pada hari tersebut pula dapat menghapuskan dosa bagi dua tahun.
7. Di dalamnya terdapat Hari An-Nahr (Hari Raya Korban), iaitu hari paling agung dalam setahun secara mutlak, yang juga dikenali sebagai hari Al-Hajj Al-Akbar, pelbagai bentuk ketaatan berhimpun padanya dan tidak terhimpun pada hari selainnya.
8. Disyariatkan padanya ibadah korban bermula pada hari kesepuluh Zulhijjah.
________________________________________
Antara Ibadah yang Sangat Dianjurkan pada 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah: Memperbanyakkan Takbir, Tahlil dan Tahmid
Allah Ta’ala berfirman: (Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak). Dan dalam hadis yang disebutkan, Rasulullah ﷺ bersabda: “Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan Tahmid padanya (10 hari awal Zulhijjah).”
Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis secara mu‘allaq dengan sighah jazm, Abdullah ibn Abbas berkata: “Abdullah ibn Umar dan Abu Hurairah keluar ke pasar pada 10 hari (Awal Zulhijjah), lalu mereka bertakbir, lalu orang ramai pun bertakbir dengan takbir mereka.”
Maksudnya, orang ramai diingatkan untuk bertakbir dengan perbuatan mereka berdua, lalu mereka bertakbir secara bersendirian. Adapun takbir secara berjemaah (serentak dengan satu suara), maka ia tidak disyariatkan.