Haji: Hukum dan Kelebihannya

Hukumnya: Haji merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Kewajipannya telah dinyatakan di dalam Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak.
Allah Ta‘ala berfirman:

﴿وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا﴾

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali ‘Imran: 97)
Daripada Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
“Islam dibina atas lima perkara... dan menunaikan haji ke Baitullah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Para ulama telah menukilkan ijmak bahawa haji merupakan salah satu rukun Islam.

Haji diwajibkan sekali seumur hidup:

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah ﷺ berkhutbah kepada kami lalu bersabda:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu haji, maka tunaikanlah haji.” Seorang lelaki bertanya: “Adakah setiap tahun, wahai Rasulullah?” Baginda diam sehingga lelaki itu mengulanginya sebanyak tiga kali. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Jika aku mengatakan: ya, nescaya ia menjadi wajib, dan kamu tidak akan mampu.” (Riwayat Muslim).
Kelebihan menunaikan ibadah haji:
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:“Dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya melainkan syurga.”(HR Al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah ini, lalu dia tidak melakukan perbuatan keji dan tidak melakukan kefasikan, dia akan kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.)

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi ﷺ ditanya:“Apakah amalan yang paling utama?” Baginda bersabda: “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda bersabda: “Jihad pada jalan Allah.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda bersabda: “Haji yang mabrur.”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ibn Hajar berkata: “Haji yang mabrur; dikatakan maksudnya adalah yang diterima, dikatakan juga maksudnya adalah yang tidak dicampuri dosa, dan dikatakan maksudnya: yang ikhlas.” (Rujuk Kitab Fathul Bari: 1/87).